09 · 05 · 2019
3000 TAN SAMPAH SEHARI DIBUANG SEPANJANG BULAN RAMADAN (Dijangka peningkatan sebanyak 500 tan sehari di Kuala Lumpur)
Kuala Lumpur, 9 Mei 2019 – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) menjangkakan trend pembuangan sisa pepejal meningkat sehingga 500 tan sepanjang bulan Ramadan ini di ketiga-tiga kawasan konsesi syarikat tersebut iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutifnya Dato’ Mohd Zain Hassan makanan yang tidak dihabiskan atau diusik yang dijual di bazar-bazar Ramadan merupakan penyumbang utama, selain plastik dan bekas polistren. Beliau berkata pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat dengan kenaikan sehingga 3000 tan sampah di bawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2500 tan sampah secara purata pada hari biasa di kawasan Kuala Lumpur.
“Ini adalah kerana Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi. Justeru itu, rakyat Malaysia haruslah ubah sikap dan budaya membeli makanan secara berlebihan. Kami di Alam Flora sentiasa mendidik orang ramai supaya menghargai makanan dan membeli ikut keperluan sahaja,” kata Mohd Zain.
Bagi membantu orang ramai menyahut seruan ini, pihak Alam Flora telah mengagihkan sebanyak 2, 000 bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula, telah diedarkan oleh Alam Flora kepada orang ramai di kawasan bazar Ramadan Jalan Raja dan sekitar Dataran Merdeka.
Sehubungan itu, Alam Flora menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri di Bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah disamping mengelakkan pembelian secara berlebihan yang mana juga, boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sampah yang dibuang.
Mohd Zain berkata, adalah harapan Alam Flora agar usaha kecil ini akan menjadi pencetus kepada satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih positif terhadap alam sekitar apabila kita menyahkan penggunaan beg plastik ini secara total.
Sehubungan itu, Mohd Zain menasihati orang ramai supaya berjimat cermat ketika membeli makanan dan tidak terlalu mengikut nafsu dan juga menyeru agar para peniaga jangan melakukan pembaziran dengan menderma makanan yang tidak habis dijual kepada rumah- rumah kebajikan atau golongan yang lebih memerlukannya.
“Selain itu, pihak Alam Flora juga ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khidmat pungutan sampah serta pembersihan akan berjalan seperti biasa semasa perayaan Hari raya Aidil Fitri yang bakal menjelang nanti,” tambah Mohd Zain.
Alam Flora SDN BHD