09 · 07 · 2015 
ALAM FLORA BANTU BERSIH KOTA BHARU SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN AIDILFITRI.

Kota Bharu, 9 Julai 2015 – Bersempena perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengerakkan 12 buah jentera serta 25 orang kakitangan yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur untuk menjalankan kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam di sekitar Kota Bharu, bermula dari 12 Julai 2015 sehingga 21 Julai 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, usahasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) merupakan program susulan ‘Mari Pakat Bersih’ yang dilancarkan pada tahun lalu bersempena musim cuti perayaan Aidilfitri minggu hadapan.

“Bantuan dari Alam Flora itu juga diharapkan dapat membantu meneruskan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri Kelantan tempat yang terbaik untuk didiami menerusi Kempen Kelantan Bersih dan Indah yang dilancarkan oleh kerajaan negeri. Ia juga berharap agar Aidilfitri tahun ini dapat diraikan dalam suasana alam sekitar yang lebih bersih dan sihat” tambah beliau.

Mohd Zain menjelaskan bahawa pihak Alam Flora amat memahami keprihatinan masyarakat mengenai tahap kebersihan di sepanjang musim perayaan ini. Diakui bahawa alam sekitar yang kotor pastinya akan menjejaskan keceriaan menyambut perayaan bersama orang-orang tersayang.

“Orang ramai yang bermaustatin di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur pasti mahu pulang ke kampung mereka di Kota Bharu, sudah tentu mahu melihat persekitaran kampung mereka yang lebih bersih dan terurus tanpa ada pemandangan yang kurang enak apabila mereka tiba ke kampung halaman masing-masing,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian pada program Masjid Sejahtera dan Iftar bersama SWCorp Kelantan, Alam Flora dan Masjid As-Salam di perkarangan Masjid As-Salam. Hadir sama ialah YB Dato’ Haji Abdul Fattah bin Haji Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa, Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan YBhg. Datuk Sri Haji Afandi bin Hamzah, Pengarah SWCorp Kelantan.

“Mengikut pengalaman kami, daripada jumlah sisa yang dikutip sepanjang musim perayaan, 45 peratus merupakan sisa makanan dan diikuti oleh sisa pukal yang dikutip sepanjang musim perayaan. Alam Flora juga memahami akan berlakunya peningkatan sisa buangan secara mendadak terutamanya di sepanjang bulan Aidilfitri,” tambah Mohd Zain.

Beliau mengharapkan kerjasama erat antara MPKB-BRI, masyarakat setempat dan Alam Flora, akan dapat mengelakkan alam persekitaran menjadi kotor serta mencemarkan pemandangan tetapi juga menimbulkan suasana bau yang tidak menyenangkan. Segala usaha terutama dari MPKB-BRI dan juga masyarakat setempat ini diharap dapat memastikan penduduk Kota Bharu dapat menikmati alam sekitar yang lebih indah, bersih, nyaman, selesa dan menjadi kebanggaan bersama. Info ringkas.

Jenis Jentera

Jumlah

Kompaktor

7 buah

‘Armroll” (2 buah tong RORO)

2 buah

Lori Tangki Air

1 buah

‘Tailgate’

2 buah

Pekerja Am

10 orang

Pemandu

10 orang

Dalam pada itu, program Masjid Sejahtera & Iftar yang diadakan siang tadi merupakan anjuran bersama Alam Flora, SWCorp Kelantan dan Masjid As-Salam. Pelbagai aktiviti telah diadakan bersempena bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal tiba.

Antaranya ialah gotong-royong membersihkan perkarangan Masjid As-Salam, gotong-royong memasak bubur lambuk, mengedarkan 1,000 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai, penyerahan sumbangan duit dan pakaian Raya kepada 30 orang anak-anak Asnaf, takzkirah khas Aidifitri serta majlis berbuka puasa untuk 500 orang kariah Masjid As-Salam.

Alam Flora SDN BHD

Back to list