13 · 09 · 2015
ALAM FLORA BERI PENDIDIKAN BERTERUSAN TENTANG PENGASINGKAN SISA PEPEJAL DI PUNCA
Kuala Lumpur, 13 September 2015 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) pada masa kini sedang giat merencana dan menjalankan program berkaitan 3R iaitu Reduce (Pengurangan), Reuse (Penggunaan Semula) dan Recycle (Kitar Semula) bagi mendidik dan memberi penerangan berterusan kepada orang awam tentang pengasingan sisa di punca selepas perlaksanaannya yang berkuatkuasa pada 1 September 2015 yang lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, Alam Flora mewujudkan skuad Eco Rangers Alam Flora pada awal tahun ini untuk menjalankan beberapa siri jelajah di kawasan-kawasan di mana Alam Flora beroperasi iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
“Selain menerangkan peranan utama Alam Flora tentang perlaksanaan peraturan pengasingan sisa pepejal di punca berdasarkan Akta 672, skuad Eco Rangers ini turut menyampaikan taklimat dan demontrasi pengasingan kepada orang ramai secara bersemuka secara ringkas, mudah dan pantas serta tepat kepada golongan sasar seperti pelajar sekolah, kakitangan awam dan kerajaan serta surirumah melalui kaedah roving atau rondaan dari satu kawasan ke kawasan yang lain” kata Mohd Zain Hassan.
Menurut Mohd Zain Hassan, kewujudan Eco Rangers Alam Flora ini adalah tepat pada masanya apabila kaedah ini digunakan bagi menyebarkan informasi secara meluas mengenai pengasingan sisa di punca yang telah diwajibkan kepada orang ramai untuk mengamalkannya dan dijalankan sejak 1 September 2015 lepas.
Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat pengasingan sisa pepejal di punca kepada penduduk Bangsar Baru siang tadi. Hadir sama ialah Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Datuk George Joseph.
Kenderaan khas Eco Rangers Alam Flora yang terdiri daripada beberapa kakitangan Alam Flora ini akan berhenti di 3 hingga 4 lokasi tumpuan awam seperti di taman permainan, pasar atau pusat riadah selama 30 hingga 45 minit pada satu-satu masa. Agen-agen Eco Rangers Alam Flora akan mengadakan taklimat tentang pengasingan sisa dari punca, mengedarkan risalah berkaitan 3R kepada orang ramai. Selain itu hadiah-hadiah menarik turut disediakan melalui Pop Kuiz 3R selain cenderahati yang akan diedarkan oleh agen-agen Eco Rangers Alam Flora.
Sejak Januari lepas, skuad Eco Rangers Alam Flora ini telah menjelajah ke kawasan-kawasan tumpuan di Putrajaya dan Kuala Lumpur seperti di Bukit Bintang dan Bangsar. Manakala di Pahang, skuad khas ini telah ke kawasan-kawasan perumahaan, balai raya dan taman permainan di Kuantan, Pekan, Maran dan Bentong
Ujar Mohd Zain, kempen kitar semula perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran dan menerapkan budaya mengitar semula dalam kehidupan seharian orang ramai.
Pelaksanaan peraturan di bawah Akta 672 akan berkuatkuasa sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah ini merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa yang ketika ini semakin meruncing.
Alam Flora SDN BHD