26 · 01 · 2019
ALAM FLORA BERJAYA KUTIP 21.2 TAN BARANG KITAR SEMULA MENERUSI 3R ON WHEELS
Kuala Lumpur, 26 January 2019 – Sejumlah 21.2 tan barangan kitar semula telah dikutip oleh anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), DRB-Hicom Environmental Services Sdn. Bhd. (DHES), di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya membuat kutipan secara bergerak dengan menggunakan kenderaan ‘3R ON WHEELS’.
Bermula 1 Disember lepas, kenderaan ‘3R ON WHEELS’ menggunakan kaedah ‘roving’ di mana ianya lebih cepat dan mudah serta lebih tertumpu kepada kumpulan sasar terutamanya di sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta serta kawasan tumpuan awam yang berada di kawasan konsensi Alam Flora, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Pahang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, inisiatif tersebut merupakan salah satu langkah proaktif syarikat konsesi itu yang sentiasa menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pengasingan sisa pepejal, sekaligus meningkatkan aktiviti 3R (guna semula, kurangkan, kitar semula) dan selari dengan sasaran negara untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 30% menjelang 2020.
Usaha ini diperkasakan lagi menerusi kolaborasi Alam Flora bersama syarikat petroleum Negara yang unggul iaitu PETRONAS dengan menggabungkan program Kad Mesra PETRONAS yang sedia ada bagi memberi ganjaran berganda agar lebih ramai lagi turut serta dalam usaha mewujudkan masyarakat yang perihatin terhadap alam sekitar.
“Kami sentiasa mencari idea-idea baharu seperti ini, semata-mata untuk menerapkankan budaya mengitar semula di kalangan masyarakat dan menjadikannya sebahagian daripada amalan harian mereka. Ini adalah antara sebabnya mengapa ‘3R ON WHEELS’ diwujudkan. Biar kami yang pergi ke tempat anda. Anda hanya perlu mengumpul barangan kitar semula dan jual kepada kami,” jelas Dato’ Mohd Zain Hassan.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran 3R ON WHEELS & Kad Mesra PETRONAS oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB. Zuraida Kamaruddin. Hadir sama, YBhg. Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengarah Urusan PETRONAS Dagangan Berhad.
Bagi jadual kutipan oleh kenderaan ‘3R ON WHEELS’, akan diviralkan di plaform-platform media sosial Alam Flora dan PETRONAS seperti Facebook, Twitter dan Instagram bagi memudahkan pemegang kad Mesra PETRONAS merancang dan menghantar barangan kitar semula mereka untuk di jual.
Alam Flora SDN BHD