14 · 06 · 2017
ALAM FLORA CATAT PENINGKATAN KUTIPAN HARIAN SEBANYAK 150 METRIK TAN HINGGA 200 METRIK TAN
Kuala Lumpur, 14 Jun 2017 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan peningkatan jumlah kutipan sisa pepejal harian sebanyak 150 metrik tan hingga 200 metrik tan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini. Jumlah tersebut merangkumi kutipan di keseluruhan kawasan konsesi di bawah perkhidmatan Alam Flora iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Pahang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, walaupun jumlah kutipan harian mencatatkan peningkatan, namun jumlah kutipan secara keseluruhan di ketiga-tiga kawasan konsesi tersebut, mencatatkan penurunan kutipan sisa pepejal sebanyak 1,000 metrik tan pada hari ke 17 Ramadan tahun ini, berbanding tahun lepas.
“Pada tahun ini, jumlah keseluruhan sisa pepejal yang dicatatkan (setakat 17 Ramadan) adalah sebanyak 45,000 metrik tan. Walaupun angka tersebut menurun sedikit akibat timbul kesedaran terhadap pembaziran di bulan yang mulia ini, namun, daripada pemerhatian kami, makanan yang tidak dihabiskan atau yang tidak terjual di bazar-bazar Ramadan, adalah merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan harian, selain daripada bahan pembungkusan seperti beg plastik dan pek polistren,” ujar Mohd Zain.
Sehubungan itu, Alam Flora menggalakkan penggunaan bekas makanan guna semula yang dibawa sendiri apabila mengunjungi Bazar Ramadan bagi mengurangkan penggunaan beg beg plastik serta pek bungkusan disamping mengelakkan pembelian makanan secara berlebihan yang mana juga, boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sisa makanan yang dibuang.
Bagi membantu orang ramai menyahut seruan ini, pihak Alam Flora telah mengagihkan sebanyak 2,000 bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula kepada orang ramai yang mengunjungi kawasan bazar Ramadan Jalan Masjid India.
Mohd Zain berkata, adalah menjadi harapan pihak Alam Flora agar usaha kecil ini akan menjadi pencetus kepada satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih positif kesannya terhadap alam sekitar apabila kita menyahkan penggunaan beg beg plastik serta bekas bekas makanan mudah buang ini secara total.
”Dan jika secara purata anda menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan di dalam bulan Ramadan ini, maka, jika menggantikannya dengan bekas makanan yang boleh dipakai semula, maka anda telah mengurangkan sebanyak 90 helai beg beg plastik dan pek pek polisterin pergi ke tapak pelupusan. Kalau didarabkan dengan beratus ribu orang… Bayangkan,” tegas Mohd Zain.
Sehubungan itu, Mohd Zain turut menasihati orang ramai supaya berjimat cermat ketika membeli makanan dan tidak terlalu mengikut nafsu dan juga menyeru agar para peniaga bazar Rasmadan agar tidak melakukan pembaziran dan menderma lah makanan yang tidak habis dijual kepada rumah- rumah kebajikan atau golongan yang lebih memerlukannya.
“Selain itu, pihak Alam Flora juga ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khidmat pungutan sampah serta pembersihan akan berjalan seperti biasa semasa perayaan Hari raya Aidil Fitri yang bakal menjelang nanti,” tambah Mohd Zain.
Alam Flora SDN BHD