15 · 11 · 2017
ALAM FLORA MELANCARKAN PROGRAM “1 SUPERVISOR 1 TRANSFORMATION AREA (1S1T)” .

Kuala Lumpur, 15 November 2017 – Bagi mewujudkan komuniti dan persekitaran bandar yang sejahtera, berkualiti dan mampan, Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) melaksanakan sebuah program transformasi kawasan perkhidmatan iaitu program “1 Supervisor 1 Transformation Area (1S1T)” bertujuan untuk menceriakan kawasan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

2. Program 1S1T merupakan inisiatif penyelia-penyelia Alam Flora untuk membuat penambaikan di kawasan perkhidmatan iaitu aktiviti yang melangkaui bidang skop kerja hakiki mereka, sama ada di kawasan perumahan mahu pun di kawasan komersial. Kerjakerja penambaikan tersebut perlu dilaksanakan dalam empat fasa bagi tempoh setahun, iaitu merangkumi 25 peratus kawasan seliaan di perkhidmatan untuk setiap tiga bulan.

3. Antara aktiviti penambahbaikan yang dijalankan oleh Alam Flora ialah membaik pulih dan mengecat kemudahan taman, membuat aktiviti cucian di tempat-tempat awam, mengindahkan taman-taman permainan dengan menanam pokok bunga serta membaik pulih struktur longkang dan kaki lima yang mengalami kerosakan kecil.

4. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, YBhg. Dato Mohd Zain Hassan, program 1S1T merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat dan telah bermula pada Julai 2017. Ia meliputi 115 kawasan perumahan dan komersil iaitu 59 kawasan di Kuala Lumpur, 6 kawasan di Putrajaya dan manakala di Pahang melibatkan 50 kawasan.

5. Setiap kawasan bukan sahaja akan dinilai oleh pegawai-pegawai Alam Flora, malah pada masa akan datang, penilaian juga akan melibatakan persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan majlis daerah serta Perbadanan Pengurusan Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

6. YBhg. Dato Mohd Zain Hassan berharap program 1S1T ini dapat membuktikan keprihatinan Alam Flora kepada di samping sentiasa bekerjasama dengan persatuan penduduk bagi memastikan masyarakat sentiasa menjaga kebersihan di kawasan mereka, bagi mencapai persekitaran yang lebih bersih dan sihat serta selamat dan kondusit untuk kesejahteraan penduduk.

Alam Flora SDN BHD

Back to list