30 · 05 · 2015 
ALAM FLORA MENYOKONG 3R MELALUI PERTANDINGAN FESYEN WASTE IS AMAZE

Putrajaya, 30 Mei 2015 – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengorak selangkah lagi dalam usaha membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) di kalangan masyarakat dengan menganjurkan Pertandingan Fesyen Waste is Amaze 2015; iaitu sebuah pertandingan rekaan pakaian yang direka khas dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh di guna (Reuse) dan di kitar semula (Recycle) seperti baju-baju terpakai, kertas suratkhabar, beg plastik, penutup botol plastik ataupun penutup tin aluminium.

Bertemakan The Majestic of Kebaya, pertandingan yang memasuki tahun kedua yang dianjurkan oleh Alam Flora ini, akan disertai oleh 50 orang pereka-pereka amatur dari seluruh Negara.

”Pemilihan awal telah di buat oleh jawatankuasa pertandingan memandangkan Alam Flora telah menerima hampir 100 penyertaan pada tahun ini. Peserta-peserta yang bertanding adalah dari pelbagai latar belakang termasuklah pelajar-pelajar kolej, guru sekolah, pensyarah, eksekutif dan juga tidak ketinggalan daripada surirumah. Penyertaan yang amat memberansangkan ini menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai tentang 3R, kepentingan, kegunaannya dan faedahnya semakin meningkat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Tuan Haji Mohd Zain Hassan.

Beliau berkata demikian selepas pertandingan akhir Pertandingan Fesyen Waste is Aamaze 2015 : The Majestic of Kebaya yang diadakan di Pentas Utama, Anjung FLORIA bersempena Festival Bunga dan Taman Diraja FLORIA Putrajaya 2015.

Menurut Mohd Zain lagi, pertandingan ini bukan sahaja telah menarik perhatian ramai peserta golongan muda untuk bertanding, malah ianya melahirkan bakat-bakat baru dalam bidang rekaan fesyen, terutamannya fesyen pakaian dari bahan-bahan kitar semula. Ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada industri fesyen tanahair dan juga penjagaan alam sekitar.

”Di negara luar, penggunaan bahan-bahan kitar semula untuk dijadikan pakaian bukanlah sesuatu yang baharu. Ianya telah lama dipelopori dan semakin popular di negara-negara Barat. Justeru, kami mengharapkan inisiatif Alam Flora ini dapat mewujudkan peluang dan dapat membantu meningkatkan pembudayaan amalan 3R sekaligus mengurangkan jumlah sisa pepejal di tapak pelupusan sampah di Malaysia” ujar Mohd Zain Hassan.

Pemenang pertama Pertandingan Fesyen Waste is Aamaze 2015 : The Majestic of Kebaya membawa pulang wang tunai RM1,000.00 beserta trofi, mahkota, selempang serta sijil penyertaaan. Manakala pemenang kedua pula akan menerima wang tunai RM700.00 (trofi, selempang dan sijil) dan tempat ketiga wang tunai RM500.00 (trofi, selempang dan sijil). Bagi Best Model pula akan menerima wang tunai RM300.00

Alam Flora SDN BHD

Back to list