03 · 11 · 2019
ALAM FLORA MENYOKONG 3R MENERUSI REKAAN UNIK

Melaka, 3 November 2019 – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengorak selangkah lagi dalam usaha membudayakan amalan 3R iaitu REUSE (guna semula), RECYCLE (kitar semula) dan RECOVERY(pemulihan/diperbaharui) di kalangan masyarakat dengan menganjurkan Pertandingan Reka Fesyen 3R Waste is Amaze 2019; iaitu sebuah pertandingan rekaan pakaian yang direka khas dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh di guna semula (Reuse) dan di kitar semula (Recycle) seperti baju-baju terpakai, kertas suratkhabar, beg plastik, kotak, penutup botol plastik ataupun penutup tin aluminium.

Bertemakan GREEN ROBOT, pertandingan yang memasuki tahun ke lima dianjurkan oleh Alam Flora ini bermula dengan Festival Royal FLORIA dan Petrosains Science Festival, akan disertai oleh 25 orang pereka-pereka amatur dari seluruh Negara.

”Pemilihan awal telah di buat oleh jawatankuasa pertandingan memandangkan Alam Flora telah menerima lebih 100 penyertaan pada tahun ini. Peserta-peserta yang bertanding adalah dari pelbagai latar belakang termasuklah pelajar-pelajar kolej, guru sekolah, pensyarah, eksekutif dan juga tidak ketinggalan daripada surirumah. Penyertaan yang amat memberansangkan ini menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai tentang 3R, kepentingan, kegunaannya dan faedahnya semakin meningkat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan.

Beliau berkata demikian selepas pertandingan akhir Pertandingan Reka Fesyen 3R Waste is Amaze 2019 : Green Robot yang diadakan pada Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2019, di PPR Kampung Tehel, Melaka.

Menurut Dato’ Mohd Zain lagi, pertandingan ini bukan sahaja telah menarik perhatian ramai peserta golongan muda untuk bertanding, malah ianya melahirkan bakat-bakat baru dalam bidang rekaan fesyen, terutamannya fesyen busana dari bahan-bahan kitar semula. Ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada industri fesyen tanahair dan juga penjagaan alam sekitar.

”Di negara luar, penggunaan bahan-bahan kitar semula untuk dijadikan pakaian bukanlah sesuatu yang baharu. Ianya telah lama dipelopori dan semakin popular di negara-negara Barat. Justeru, kami mengharapkan inisiatif Alam Flora ini dapat mewujudkan peluang dan dapat membantu meningkatkan pembudayaan amalan 3R sekaligus mengurangkan jumlah sisa pepejal di tapak pelupusan sampah di Malaysia” ujar Dato’ Mohd Zain Hassan.

Pemenang pertama Pertandingan Reka Fesyen 3R Waste is Amaze 2019 : Green Robot membawa pulang wang tunai RM1,500.00 beserta trofi, mata ganjaran Petronas Mesra sebanyak 10,000, selempang serta sijil penyertaaan. Manakala pemenang kedua pula akan menerima wang tunai RM1,000.00, mata ganjaran Petronas Mesra sebanyak 5,000 (trofi, selempang dan sijil) dan tempat ketiga wang tunai RM800.00, mata ganjaran Petronas Mesra sebanyak 5,000 (trofi, selempang dan sijil).

Alam Flora SDN BHD

Back to list