20 · 08 · 2017
ALAM FLORA PERKENAL PERALATAN PEMBERSIHAN BERKONSEP HIJAU SEMPENA SUKAN SEA KE-29
Kuala Lumpur, 20 Ogos 2017 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) memperkenalkan peralatan pembersihan terbaharu berkonsepkan hijau bersempena dengan Sukan SEA Ke-29 (KL 2017). Peralatan pembersihan yang diperkenalkan ini, adalah sejajar dengan inisiatif hijau KL 2017 yang pertama kali diperkenalkan pada temasya sukan dwi-tahunan ini, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penjagaan alam sekitar dan pengurusan lestari sisa pepejal, yang boleh dikongsi dan dilaksanakan bersama.
2. Antara peralatan pembersihan terbaharu berkonsep hijau oleh Alam Flora ini adalah yang menggunakan motor eletrik seperti, mesin Mikro Sapuan dan Vakum Elektrik, skuter eletrik serta basikal roda tiga elektrik.
3. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, peralatan pembersihan terbaharu ini menggunakan kuasa eletrik serta mempunyai ciri-ciri yang mampu meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mengurangkan pelepasan karbon untuk persekitaran yang lebih baik dan sihat ketika temasya ini berlangsung disamping menjimatkan tenaga dan sumber asli.
4. Peralatan pembersihan baharu ini bukan sahaja mesra alam, malah, peralatan tersebut juga dapat memudahkan pekerja-pekerja Alam Flora untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan terutama di lokasi tumpuan tinggi pengunjung dan dijangka akan sesak seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil, Titiwangsa dan juga Pudu Ulu.
5. Beliau berkata demikian selepas Majlis Perlepasan Peserta Alam Flora City Hunt dan Pelancaran Peralatan Pembersihan Berkonsep Hijau oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YBhg. Dato’ Ibrahim Bin Yusoff.
Perlumbaan ‘Alam Flora City Hunt’
6. Sementara itu, seramai 160 peserta tempatan daripada pelbagai lapisan peringkat umur masyarakat menyertai perlumbaan “Alam Flora City Hunt”, bermula dari Dataran DBKL di Jalan Raja Laut dan sebahagian laluan “KL Car Free Morning”.
7. Inisiatif ini dianjurkan buat julung kali oleh Alam Flora bersempena dengan sambutan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan bermula pada 19 Ogos ini dan Hari Kebangsaan ke-60. Selain itu, perlumbaan ini juga dianjurkan untuk tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kitar semula demi persekitaran yang lebih bersih dan sihat di masa akan datang.
8. Antara kelainan yang di bawa dalam perlumbaan Alam Flora City Hunt adalah, peserta-peserta diwajibkan membawa barangan kitar semula yang bernilai RM20.00 sebagai yuran penyertan. Peserta-peserta juga dikehendaki menjawab soala-soalan kuiz dan membuat tugasan tertentu yang berkaitan kitar semula.
9. Peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2, 000.00 beserta medal dan sijil bagi tempat pertama. Manakala bagi tempat kedua ialah wang tunai sebanyak RM1, 500.00 dan tempat ketiga wang tunai sebanyak RM1, 000.00 beserta medal dan sijil.
Alam Flora SDN BHD