25 · 07 · 2020
ALAM FLORA PERKENALKAN FASILITI INOVASI KITAR SEMULA (FIKS)
Putrajaya, 25 Julai – Selari dengan hasrat kerajaan dalam mencapai sasaran kadar kitar semula sebanyak 30% pada 2020, Alam Flora Sdn. Bhd, selaku salah sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini, telah mengambil satu langkah proaktif dengan membina sebuah Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, berkata FIKS, yang terletak di Presinct 5, Putrajaya, adalah merupakan satu-satunya fasiliti seumpamanya, yang wujud di negara ini. Ia akan dapat memainkan peranan utama dalam menggalakkan masyarakat Malaysia, terutamanya warga Putrajaya, serta penduduk berhampiran, mengamalkan kitar semula agar dapat membantu mengurangkan sisa kitar semula dihantar ke tapak pelupusan.
“Selain dari itu, FIKS juga adalah sebuah pusat ilmu bagi menyediakan pembelajaran untuk orang awam terutamanya golongan pelajar, untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang proses kitar semula, pengasingan, pemulihan sisa dan juga bagaimana mereka boleh memainkan peranan dalam membudayakan amalan kitar semula ini,” kata Dato’ Mohd Zain.
Kewujudan FIKS juga mendokong Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG), yang bukan hanya memfokuskan agenda alam sekitar (SDG 13), malahan, ia juga menyentuh tentang kesejahteraan komuniti (SDG 11). Ia memberi perhatian kepada falsafah apa yang kita lakukan pada masa ini, tidak akan memudaratkan keupayaan kehidupan anak cucu kita pada masa depan.
Majlis Perasmian Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Putrajaya tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri TPr Annuar Hj Musa.
Antara fasiliti dan kemudahan yang disediakan di FIKS adalah, Hab Ilmu, Butik 3R, Perpustakaan, Pusat Belian Balik Barangan Kitar Semula, Tempat Permainan dan juga Fasiliti Kitar Semula Bersepadu (IRF) yang antaranya menempatkan kawasan pengumpulan dam pemprosesan barangan kitar semula antaranya thrommel, mesin pemampat dan juga mesin melerai plastik menjadi kepingan untuk dikitar semula. Terdapat juga fasiliti pengumpulan minyak masak terpakai dan juga untuk membuat kompos dari sisa makanan dan juga Anaerobic Digester (AD).
FIKS akan mula dibuka kepada orang ramai pada bermula hari ini dan ianya akan dibuka setiap hari kecuali hari Ahad dan Cuti Umum, dari jam 9.00 pagi hingga ke jam 4.00 petang.
Alam Flora SDN BHD