04 · 08 · 2015
ALAM FLORA SEDIA TONG SISA MUDAH ALIH UNTUK PASAR AWAM DI TANAH MERAH

Tanah Merah, 4 Ogos 2015 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyerahkan sejumlah 52 unit tong sisa mudah alih kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) yang akan ditempatkan di Pasar Besar Tanah Merah dan Pasar Borong Manor, bagi meningkatkan lagi tahap kebersihan pasar-pasar awam di daerah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, penyediaan tong-tong sisa mudah alih ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutamanya peniaga-peniaga di pasar-pasar tersebut agar tahap kebersihan dan alam sekitar di kawasan pasar lebih terpelihara sekaligus memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Sistem perlupusan sampah di kawasan pasar haruslah dilaksanakan secara betul dan teratur contohnya seperti menggunakan tong sampah bertutup serta membuang sampah di dalam tong, bukannya di tepi tong kerana ianya terdedah kepada risiko penyebaran penyakit berjangkit disebabkan oleh virus leptospirosis atau kencing tikus yang boleh menjejaskan kesihatan memandangkan populasi tikus lebih aktif di kawasan pasar berbanding kawasan kediaman,” jelas Mohd Zain.

Sebanyak 50 unit tong sisa mudah alih berkapasiti 120 liter serta 2 unit berkapasiti 660 liter telah diserahkan secara rasmi oleh Azahari Zainal Abidin, Ketua Pegawai Kewangan Alam Flora kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Kelantan, YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood.

Majlis penyerahan itu juga turut disaksikan oleh Pengarah SWCorp Negeri Kelantan, Dato’ Seri Afandi Hamzah. Hadir sama Yang Dipertua MDTM, Norazman Abd. Ghani, ahli majlis, pengarah dan pegawai dari MDTM.

Sebelum ini, pihak Alam Flora turut menyumbangkan 320 unit tong sisa mudah alih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB–BRI) untuk kegunaan di Pasar Besar Siti Khadijah dan 13 unit tong sisa mudah alih kepada Majlis Daerah Bachok (MDB) untuk kegunaan orang awam yang mengunjungi Pantai Irama di daerah tersebut.

Selain daripada pengendalian yang mudah, tong sisa mudah alih mempunyai penutup dan mampu menghalang cairan daripada keluar, sekaligus boleh mengurangkan bau busuk. Ianya diperbuat daripada bahan yang boleh kekal lama, tahan cuaca dikenali sebagai polyethylene padat (HDPE), dan setiap tong boleh diisi sehingga 50 kg sisa pepejal. Tong-tong sisa tersebut mempunyai jangka hayat sehingga tujuh tahun.

Alam Flora SDN BHD

Back to list