20 · 10 · 2018
ALAM FLORA SEDIAKAN FASILITI RAWAT SISA DI PUNCA

Kuala Lumpur, 20 Oktober 2018 – Buat julung kalinya, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyediakan fasiliti merawat sisa di punca atau ‘Treatment at Source’ di kawasan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi menggalakkan masyarakat untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti kitar semula, asingkan sisa di punca dan juga mengompos sisa makanan untuk dijadikan baja organik.

Fasiliti tersebut dilengkapi dengan mesin kompos, tong-tong untuk kitar semula dan juga kebun mini berhampiran fasiliti tersebut, yang menggunakan baja organik yang terhasil daripada mesin kompos tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, fasiliti berkenaan merupakan inisiatif daripada anak syarikat Alam Flora, iaitu DRB-Hicom Environmental Services (DHES) di mana PPR Seri Alam dijadikan PPR pertama yang dilengkapi dengan kemudahan tersebut.

“Wakil penduduk akan di latih oleh DHES untuk menggunakan mesin kompos, mendidik mereka untuk mengitar semula dan juga bercucuk tanam di kebun mini berhampiran.“Wakil penduduk yang dilantik itu, akan mengajar pula seluruh komuniti di PPR Seri Alam ini mengenai kebaikan serta kelebihan mengitar semula dan mengompos sisa makanan. Ini secara tidak langsung dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan merawat sisa di punca dan juga kepentingan menjaga kebersihan persekitaran,” tegas Mohd Zain.

Beliau berkata demikian selepas Program Mendaya Komuniti PPR #rawatbumi oleh YBhg. Datuk Haji Mohammad Bin Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mewakili Menteri KPKT, YB Zuraida Kamaruddin.

Mohd Zain berkata, Alam Flora amat prihatin terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, serta keselesaan kehidupan masyarakat sekeliling dan amat menitikberatkan aspek penambahbaikan sistem pengurusan sisa pepejal yang berterusan, dan juga usahasama dengan pihak untuk inisiatif hijau dan mesra alam.

Adalah menjadi tugas syarikat untuk terus menggalakkan penglibatan orang ramai untuk bersama-sama merawat sisa dari punca, daripada sampah-sampah tersebut di buang begitu sahaja ke dalam tong tanpa diasingkan dan di proses untuk dijadikan baja organik.

Kami yakin bahawa inisiatif kami dapat membuktikan keprihatinan Alam Flora, di samping sebagai satu landasan untuk bekerjasama dengan persatuan penduduk bagi mempastikan masyarakat sentiasa menjaga kebersihan di kawasan mereka, serta selamat dan kondusif untuk kesejahteraan penduduk di samping dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat antara kedua pihak.

Alam Flora SDN BHD

Back to list