24 · 05 · 2018 
BELIAN MINYAK MASAK TERPAKAI BERI IMPAK POSITIF KEPADA ALAM SEKITAR

Kuala Lumpur, 24 Mei 2018 – Sebanyak 100 buah tong berkapasiti 25 liter disediakan oleh anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd, (Alam Flora) iaitu DRB-HICOM Environmental Services Sdn Bhd (DHES) kepada peniaga-peniaga makanan di bazar Ramadan untuk mengumpul minyak masak terpakai sepanjang bulan Ramadan. Tiga bazar Ramadan yang terlibat adalah di Jalan Masjid India, Bangsar dan Bandar Tasik Permaisuri di Cheras.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Haji Mohd Zain Hassan berkata, tong-tong minyak yang disediakan ini merupakan inisiatif DHES buat julung kalinya. Kutipan minyak masak terpakai ini dipergiatkan lagi di bazar-bazar Ramadan, bagi meneruskan hasrat Alam Flora untuk terus mendidik masyarakat mengamalkan konsep 5R iaitu REFUSE (menolak), REDUCE (mengurangkan), REUSE (guna semula), RECYCLE (kitar semula) dan RECOVERY (pemulihan/diperbaharui)

“Jangan sangka minyak masak terpakai tidak berguna, sebaliknya komoditi itu boleh ditukar menjadi pendapatan sampingan daripada dibuang begitu saja. Bagi setiap satu kilogram (kg) minyak masak terpakai, orang ramai termasuk peniaga-peniaga boleh memperoleh RM1.20 sekilogram jika ia dijual semula kepada kami,” jelas Dato’ Haji Mohd Zain Hassan.

Penjualan semula minyak masak terpakai adalah di peringkat RECOVERY dalam 5R iaitu pemulihan atau diperbaharui di mana minyak masak terpakai boleh ditukar menjadi biodiesel menerusi proses ‘tranesterifikasi’ yang boleh digunakan untuk kenderaan berat seperti traktor, bas dan sebagainya. Antara bahan kimia digunakan untuk menukar minyak masak terpakai kepada biodiesel adalah methanol, pemangkin (catalyst) dan minyak masak itu sendiri.

Dato’ Haji Mohd Zain Hassan berkata demikian selepas menghadiri program tahunan Alam Flora iaitu Program Agihan 1500 Bekas Bubur Lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan Jalan Masjid India. Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Tan Sri Hj. Mhd. Amin Nordin Bin Abd. Aziz.

Menurut Dato’ Haji Mohd Zain Hassan, lebihan minyak masak terpakai dibuang ke longkang atau saliran air, bakal memberi impak negatif dan boleh menyebabkan gangguan ke atas sistem loji rawatan air, tapak pelupusan sampah, loji kumbahan dan boleh menyebabkan pencemaran ke atas sumber air. Minyak masak terpakai bersifat hidrofobik bertindak mengumpulkan bahan pencemar sebelum mendap di dalam kolam takungan banjir dan memberikan kesan kepada kualiti air dan rantaian makanan. Justeru itu, beliau mengharapkan inisiatif belian semula minyak masak terpakai ini dapat membantu mengawal pencemaran longkang.

Dalam pada itu, Dato’ Haji Mohd Zain Hassan memaklumkan jumlah kutipan sisa pepejal secara keseluruhan di ketiga-tiga kawasan konsesi iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang, mencatatkan sebanyak 17 ribu metrik tan pada hari ke 7 Ramadan tahun ini berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 19 ribu metrik tan.

Sehubungan itu, Alam Flora menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri di Bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah disamping mengelakkan pembelian secara berlebihan yang mana juga, boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sampah yang dibuang.

Alam Flora SDN BHD

Back to list