13 · 02 · 2020 
EDAR 200 BEG ‘ANTI-LITTER’ KIKIS SIKAP BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN

KOTA BHARU, 13 Feb 2020 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mempergiatkan kempen ‘anti-litter’ kepada orang awam khususnya pengguna kenderaan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta mengubah minda masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, kempen tersebut adalah antara usaha berterusan Alam Flora ke arah menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran. Tabiat membuang sampah merata-rata seperti dari kenderaan wajar dikikis segera kerana ianya boleh menyumbang kepada persekitaran yang tidak bersih terutamanya di persimpangan lampu isyarat, jalan-jalan utama serta tempat tumpuan umum.

“Kita sepatutnya menyimpan terlebih dahulu sampah dari dalam kenderaan dengan menggunakan beg seperti yang diedarkan oleh Alam Flora pada hari ini atau pun apa juga jenis beg, sehinggalah tiba ke destinasi, stesen minyak atau kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk dibuang ke dalam tong sampah,” tegas Mohd Zain.

Beliau berkata demikian selepas aktiviti ‘plogging’ oleh 100 pelajar sekolah, penyampaian hadiah Kutipan Bahan Kitar Semula Terbanyak, sijil penghargaan Rakan Kitar Semula dan pengedaran 200 beg ‘Anti-Litter’ kepada orang ramai di sekitar Pasar Siti Khadijah untuk program Kempen Anti Litter sempena “Kempen Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Kokse yang dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Hajjah Zuraida Kamaruddin.

Program ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau dalam bahasa Inggerisnya, Sustainable Development Goals (SDG) yang bukan hanya memfokuskan agenda alam sekitar (SDG 13), malah ianya juga menyentuh tentang kesejahteraan komuniti (SDG 11).

Program Bantuan Khas

Di samping itu, Alam Flora juga akan menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di Kota Bharu yang merupakan sebahagian dari program bantuan khas yang mula beroperasi hari ini selama 6 bulan. Program ini melibatkan 12 buah kenderaan serta 23 orang tenaga kerja yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur dan Pahang. Alam Flora turut meletakkan 220 buah tong sampah bersaiz 660 liter dan 240 liter di sekitar kawasan yang terlibat.

Alam Flora SDN BHD

Back to list