09 · 02 · 2019 
KIKIS SIKAP BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN DEMI MASA DEPAN ALAM SEKITAR

Kuala Lumpur, 9 February 2019 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mempergiatkan kempen ‘anti-litter’ kepada orang awam khususnya pengguna kenderaan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta mengubah minda masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, kempen tersebut adalah antara usaha berterusan Alam Flora ke arah menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran. Tabiat membuang sampah merata-rata seperti dari kenderaan wajar dikikis segera kerana ianya boleh menyumbang kepada persekitaran yang tidak bersih terutamanya di persimpangan lampu isyarat, jalan-jalan utama serta tempat tumpuan umum.

“Saya menggalakkan pengguna jalan raya, untuk membawa sendiri beg khas untuk membuang sampah-sampah kecil (littering) ketika memandu kenderaan. Ini adalah salah satu inisiatif yang harus di sahut oleh masyarakat Malaysia untuk lebih rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. Kita sepatutnya menyimpan terlebih dahulu sampah dari dalam kenderaan dengan menggunakan beg seperti yang diedarkan oleh Alam Flora pada hari ini atau pun apa juga jenis beg, sehinggalah tiba ke destinasi, stesen minyak atau kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk di buang ke dalam tong sampah,” tegas Dato’ Mohd Zain.

Beliau berkata demikian selepas program Kempen ‘Anti-Litter: Give Your Litter a Lift Home’ dan penyerahan beg ‘anti-litter’ di Stesen Minyak Petronas Putra, Lebuhraya PLUS Arah Selatan yang dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Yg. Berhormat, Tuan Haji Khalid Bin Abd. Samad.

Rakyat Malaysia didapati cenderung membuang sampah-sampah kecil seperti kertas tisu, pembungkus gula-gula, bekas minuman, plastik dan lain-lain dari dalam kenderaan tanpa memikirkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Walaupun kecil, namun sikap gemar membuang sampah-sampah kecil ini merupakan antara penyumbang kepada jumlah sampah yang semakin meningkat terutama apabila kawasan pelupusan sampah yang semakin terhad.

Alam Flora SDN BHD

Back to list