14 · 05 · 2020
KL CATAT PENGURANGAN 18% KUTIPAN SISA DOMESTIK PADA BULAN RAMADAN
Kuala Lumpur 14 Mei 2020, – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mencatatkan penurunan kutipan sisa domestik sebanyak 18 peratus pada hari ke 20 bulan Ramadan berbanding tahun lepas di Kuala Lumpur. Pada tahun ini, Alam Flora telah memungut sejumlah 27 ribu tan sisa domestik di sekitar Kuala Lumpur berbanding pada tahun 2019 iaitu sebanyak 33 ribu tan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato. Mohd Zain Hassan, angka tersebut menurun hasil daripada larangan aktviti jual beli di bazar-bazar Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan akibat wabak Covid 19. Sebelum ini, makanan yang tidak dihabiskan atau yang tidak terjual di bazar-bazar Ramadan merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan harian, selain daripada bahan pembungkusan makanan seperti beg plastik dan pek polistren.
“Selain ketiadaan bazar Ramadan, pengurangan ini turut berpunca daripada kegiatan ‘normal baharu’ orang ramai yang memasak sendiri makanan untuk berbuka puasa sebagai langkah penjimatan. Ini ditambah pula dengan ketiadaan penganjuran majlis berbuka puasa atau bufet berbuka puasa di hotel-hotel seperti kelazimannya sebelum ini,” kata Mohd Zain.
Alam Flora akan meneruskan perkhidmatan kutipan sampah serta pembersihan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang seperti biasa semasa perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. Lebih 9 ribu pekerja dan 600 jentera sokongan akan terus beroperasi seperti biasa di ketiga-tiga kawasan konsesi Alam Flora ini.
Selain dari itu, beliau juga berharap agar orang ramai lebih berhemah dalam menyediakan juadah raya agar tidak berlaku pembaziran dan makanan dibuang lebih-lebih lagi dengan situasi yang masih dalam pergerakan terkawal ini.
“Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu risau kerana Alam Flora memberi jaminan bahawa petugas-petugas kami akan mengekalkan langkah-langkah keselamatan dan menjaga kesihatan bagi mengelak daripada dijangkiti wabak COVID 19 terutama bagi mereka yang bertugas di lapangan termasuklah pemandu, petugas kutipan dan pembersihan serta penyelia.
“Mereka diwajibkan membuat pemeriksaan suhu badan setiap pagi sebelum menjalankan tugasan, memakai Alat Perlindungan Diri (PPE) seperti penutup mulut dan sarung tangan sepanjang tempoh tugasan dan kerap mencuci tangan dan menggunakan ‘hand sanitizer’ yang dibekalkan oleh pihak syarikat. Sekiranya suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius, mereka tidak dibenarkan memasuki pejabat atau meneruskan tugasan harian dan diarah untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan lanjut,” tambah beliau.
Alam Flora juga memohon kerjasama orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam untuk membuat aduan atau, berkongsi maklumat mengenai tahap kebersihan di kawasan masing-masing agar tindakan susulan dapat diambil.
Alam Flora SDN BHD